Friday 14 December 2012

PP 4 U

Anda tahu apakah itu sembelihan?
Adakah ia berbeza dengan masyarakat bangsa yang lain?
Bagaimanakah cara sembelihan yang betul menurut syariat Islam?
Marilah kita saksikan bersama melalui PP ini....

https://docs.google.com/presentation/d/1O894UNT7QOh9_IJtjk3tItLFM90-iQ2f9cr2jArCabw/edit#slide=id.p81

 Semoga beroleh manfaat darinya...tq

Thursday 13 December 2012

My Prelude

Moviemaker yang telah berjaya aku belajar buat di DPLI KDC UPSI ini..hehe

PANDUAN UNTUK MENGHAFAZ AL-QURAN

PERSEDIAAN SEBELUM MENGHAFAL :

1. Membersihkan diri dari segala hadas.
2. Memakai wangi-wangian.
3. Bersugi atau memberus gigi.
4. Berwudhuk.
5. Memilih mushaf yang biasa digunakan seharian.
  • Pastikan tulisan mudah dibaca.
  • Sebaiknya menggunakan mushaf rasm uthmani.
6. Memilih tempat yang sesuai untuk menghafaz Al Quran.
7. Memilih waktu yang sesuai untuk menghafaz Al Quran. Waktu yang dicadangkan:
  • Selepas subuh.
  • Selepas maghrib.
8. Pilih guru yang ingin anda perdengarkan bacaan dan hafalan anda.
9. Perbetulkan niat untuk menghafal Al Quran.

CARA MENGHAFAZ :

1. Tentukan had bilangan ayat atau mukasurat yang hendak dihafal.
2. Bacalah ayat yang hendak dihafal. Pastikan bacaan tersebut betul dari segi tajwid dan sebutan.
3. Ulang bacaan dengan disemak bacaan tersebut supaya tidak ada kesilapan setiap kali ianya diulang.
  • Bilangan ulangan ayat yang dicadangkan adalah sebanyak 60 / 30 / 10 dan lain-lain bersandarkan kepada kemampuan ingatan seseorang.
  • Semakin banyak ayat diulang semakin mudah ianya dihafal dan kekal lebih lama dalam ingatan.
4. Sebaik sahaja selesai ulangan bacaan tersebut dan anda berpuashati dengan bacaan tersebut,
mulakan dengan mengulang ayat yang pertama yang ingin dihafal sehinggalah berjaya menghafal ayat tersebut.
5. Kemudian berpindahlah ke ayat yang kedua. Ulang langkah yang sebelumnya sehingga selesai hafalan ayat yang ketiga.
6. Ulang hafalan ayat satu kemudian diikuti ayat yang kedua.
7. Selepas anda yakin ayat satu dan dua telah dihafal dengan hafalan yang sempurna mulakan hafalan dengan diulang langkah yang digunakan pada ayat yang pertama dan ayat yang kedua. Kemudian susuli dengan urutan ayat satu dua dan tiga dihafal serentak.
8. Ayat yang berikutnya juga dilakukan langkah seperti ayat satu dua dan tiga sehinggalah sampai ke had yang telah ditetapkan ( cth : 1 ms / 1 ‘ain ).
9. Ulanglah keseluruhan hafalan sehinggalah benar-benar yakin hafalan tersebut sempurna.
10. Perdengarkan bacaan kepada guru atau kawan yang dipilih.
11. Apabila ingin memulakan hafalan yang baru, ulang terlebih dahulu hafalan yang lalu, barulah dimulakan hafalan yang baru dengan cara yang sama pada hafalan yang lalu.
12. Hafallah setiap ayat dan alunkanlah ia dengan penuh tadabbur dan dengan penuh kesungguhan serta niat untuk memahami dan memelihara kalam Allah.

SELEPAS MENGHAFAL :

1. Berdoa agar dikurniakan keberkatan dalam hafalan. Antara doa yang baik untuk dibaca :
“ Ya Allah Rahmatilah kami dengan Al Quran, jadikanlah ia pemimpin , cahaya dan petunjuk dan rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami apa yang kami dilupakan , ajarilah kami apa tidak tahu
dan berikanlah kami rezeki membacanya di sebelah malam dan di sebelah siang. Jadikanlah ianya hujjah bagi kami wahai Tuhan sekalian alam. ”

2. Pastikan Al Quran sentiasa dibaca dan diulang selalu. Pastikan setiap hari ada jadual mengulang dan jadual hafalan yang baru.
3. Berusaha untuk memperbaiki bacaan, memahami makna, hukum dan hikmah yang terkandung di dalam setiap ayat.
4. Berusaha untuk beramal dengan setiap perintah yang didatangkan dan berusaha menjauhi setiap larangan yang terkandung di dalam Al-Quran.

TABIAT MEREKA YANG INGIN MENGHAFAZ AL-QURAN

1. Sentiasa di dalam keadaan bersih dan suci.
2. Sentiasa berjaga-jaga daripada termakan makanan atau minuman yang haram, begitu juga yang syubhat.
3. Rajin bangun di waktu malam untuk berqiyamullail, membaca Al Quran dan menunaikan solat malam.
4. Mengelakkan daripada melakukan perkara yang sia-sia sama ada dalam bentuk perbuatan atau percakapan serta menjauhi perkara yang dilarang oleh Allah sama ada dalam bertuk percakapan atau perbuatan.
5. Menjaga tingkahlaku dan percakapan seharian.
6. Rajin berpuasa sunat.
7. Memastikan niat menghafal Al Quran sentiasa kerana Allah bukan kerana habuan dunia dan sebagainya.
8. Menjaga hubungan baik dengan Allah dan manusia.

Monday 10 December 2012

Kerja Individu Psikologi Pendidikan

KEMAHIRAN MENGHAFAZ AL-QURAN : KAJIAN TERHADAP SEKOLAH MENENGAH TAHFIZ AL-QURAN (JAIM) CHENDERAH, JASIN

 ABSTRAK


            Kajian ini dijalankan untuk memahami dan menyelesaikan masalah-masalah pelajar di Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Chenderah, Jasin, Melaka (SMTAQ) dalam menghafaz dan menjaga Al-Quran. Seramai 20 orang pelajar daripada Tingkatan 4A dipilih sebagai model kajian. Tinjauan awal telah dibuat melalui refleksi pembelajaran dan pengajaran melalui ujian pra-amali dan bertulis. Hasil dapatan daripada tinjauan awal menunjukkan tahap penguasaan pelajar dalam menghafaz Al-Quran adalah pada tahap lemah dan masih memerlukan banyak latihan. Pelajar telah menjalani proses pemantauan melalui beberapa program yang diadakan berdasarkan kaitan teori-teori psikologi pendidikan yang bersesuaian. Dapatan kajian daripada hasil beberapa ujian menunjukkan peningkatan kemahiran pelajar dalam menghafaz Al-Quran.



PENGENALAN



            Al-Quran merupakan wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk dijadikan sebagai pedoman dan pegangan hidup seluruh umat manusia. Al-Quran juga adalah kitab suci yang mengandungi peraturan lengkap dan sempurna dalam mengatur segala aspek kehidupan manusia. Di dalam konteks pendidikan di Malaysia, Al-Quran menjadi satu komponen wajib di dalam matapelajaran Pendidikan Islam lebih-lebih lagi bagi sekolah yang dinamakan sekolah tahfiz Al-Quran.



Allah berfirman dalam kitab-Nya yang mulia :

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al Quran dan Kamilah yang akan menjaganya” 
 (Al Hijr 15:9)

            Penerapan bacaan Al-Quran yang telah ditekankan sejak peringkat sekolah rendah dan juga sekolah menengah diteruskan sehingga ke peringkat universiti. Komponen pendidikan Al-Quran yang diaplikasi di SMTAQ adalah berkaitan dengan hafazan Al-Quran. Penerapan yang berterusan kepada pelajar dilihat amat penting untuk memastikan pelajar-pelajar beragama Islam celik Al-Quran dan mampu menguasai ilmu tersebut dengan baik.



            Amalan pengajaran Al-Quran yang berkesan juga dikaitkan dengan sifat kreatif guru yang mana bukan sahaja setakat merancang pengajaran, bahkan juga meliputi kreativiti semasa proses pengajaran. Amalan ini penting kerana ia akan menentukan daya tarikan minat pelajar untuk menumpukan perhatian. Ngalim (1990) dalam Mohd Aderi Che Noh, Rohani Ahmad Tarmizi (2009) berpendapat bahawa punca pelajar hilang tumpuan semasa belajar ialah disebabkan oleh cara guru menerangkan dan menggunakan bahan pengajaran yang membosankan.



REFLEKSI MASALAH



            Kajian ini adalah bertitik tolak daripada masalah besar yang melibatkan kelemahan pelajar dalam menguasai kemahiran menghafaz ayat-ayat Al-Quran. Masalah inilah yang sebenarnya dihadapi oleh pelajar baik di sekolah rendah, sekolah menengah mahupun di institusi-institusi Pengajian Tinggi. Kajian Mohd Alwi et al. (2003), Ab. Halim (2005) dan Ab. Halim et al. (2006) dalam Mohd Aderi Che Noh dan Rohani Ahmad Tarmizi (2009) menunjukkan bahawa kelemahan dalam pengajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Al-Quran menyebabkan timbulnya masalah penguasaan pelajar dalam kemahiran membaca dan menghafaz Al-Quran. Kelemahan penguasaan Tilawah (Bacaan) dan Hafazan Al-Quran pelajar akan terus wujud sehinggalah mereka menamatkan pelajaran pada peringkat sekolah menengah sekiranya pengajaran Al-Quran di sekolah tidak diberi penekanan. Oleh demikian adalah menjadi tanggungjawab guru-guru Al-Quran untuk menguasai strategi pengajaran supaya memudahkan pelajar untuk mempelajari hafazan Al-Quran dengan lebih mudah.



            Bidang Pendidikan Al-Quran adalah mata pelajaran yang wajib diambil dan diwajibkan lulus bagi semua pelajar di Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (SMTAQ). Sukatan Pelajaran Pendidikan Al-Quran ini telah digariskan oleh Jabatan Agama Islam Melaka dengan (JAIM) dengan bercabang kepada tiga bahagian iaitu Hafazan Al-Quran, Tahriri Al-Quran (Penulisan) dan Tajwid Al-Quran.



            Apabila meneliti keputusan ujian hafazan tahun lepas, ramai di kalangan pelajar masih belum menguasai hafazan Al-Quran walaupun mereka tahu membaca Al-Quran. Penyelidik pernah bertanyakan kepada mereka tentang masalah ini dan jawapan yang diberikan mudah sahaja, “Kami sudah hafal, tetapi sukar untuk ingat.” Selain itu, ada di kalangan mereka, yang pernah bertanyakan kepada pengkaji cara menghafaz ayat-ayat Al-Quran itu dengan teknik yang mudah diingati. Penyelidik cuba memikirkan apakah cara terbaik untuk membantu pelajar mengatasi masalah ini.



Rasulullah S.A.W. pernah bersabda :



“Yang terbaik dikalangan kamu (manusia) adalah yang belajar dan mengajar Al-Quran” 
(HR Bukhari dan Muslim)



            Mengambil kira kepentingan Al-Quran di kalangan pelajar, atas dasar tanggungjawab sebagai seorang pendidik dalam memartabatkan ilmu terutamanya ilmu Al-Quran, penyelidik cuba mengilhamkan dua program yang akan dilampirkan kemudian. Adalah menjadi harapan penyelidik agar hasil kajian ini dapat membekalkan maklumat berguna kepada guru-guru berkaitan di samping meningkatkan kemahiran membaca dan menghafaz ayat-ayat Al-Quran di kalangan pelajar.



FOKUS



            Fokus kajian ini memberi tumpuan kepada kaedah atau teknik untuk mengatasi masalah pelajar dalam menghafaz ayat-ayat hafazan dalam sukatan Pendidikan Al-Quran SMTAQ. Kajian ini dilaksanakan bagi melihat keberkesanan Program “Chunking”, Program “10-1(10 kali baca surah dalam sehari)” dan Program “Sahabat Huffaz” dalam memudahkan pelajar menghafaz ayat-ayat hafazan yang ditentukan. Selain itu, kajian ini juga mengenalpasti sama ada kaedah pengajaran ini dapat meningkatkan tahap penumpuan dan pemahaman pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran.



OBJEKTIF



            Selepas kajian ini selesai dijalankan, pelajar-pelajar diharap akan mencapai objektif berikut :



Objektif Umum



Meningkatkan kemahiran pelajar-pelajar Tingkatan 4A dalam menghafaz ayat-ayat Al-Quran dengan lebih efektif.



Objektif Khusus



1. Menyebut setiap kalimah dengan betul.

2. Mengubah persepsi pelajar dengan mengatakan mudahnya menghafaz

     Al-Quran.

3. Membantu meningkatkan pencapaian pelajar dalam bidang hafazan Al-Quran.



KUMPULAN SASARAN



            Kajian ini melibatkan 20 orang pelajar Tingkatan 4A Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Chenderah, Jasin, Melaka sesi 2012.



PELAKSANAAN KAJIAN



            Proses pengumpulan data dilakukan melalui kaedah kualitatif dan kuantitatif iaitu melalui pemerhatian, ujian pra-amali dan pos.



Pemerhatian



            Penyelidik telah menjalankan pemerhatian ke atas tingkah laku pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung sebelum dan selepas kajian. Hasil daripada pemerhatian yang dijalankan, masih ada pelajar yang lemah dalam menguasai teknik membaca dan menghafaz Al-Quran dengan betul.



Ujian pra-amali dan pos



            Ujian pra telah diberikan berdasarkan sukatan pelajaran Pendidikan Al-Quran bertujuan untuk mengesan sejauh mana kemahiran pelajar dalam menguasai bacaan dan hafazan. Selepas melihat keputusan ujian pra, penyelidik terus menjalankan aktiviti dengan melaksanakan beberapa program. Pada minggu

berikutnya penyelidik terus memberikan ujian yang sama yang telah diberikan dalam ujian pra sebagai ujian pos 1. Selepas seminggu, penyelidik telah memberikan ujian pos 2.





TINDAKAN YANG DIJALANKAN UNTUK MENGATASI MASALAH



            Berdasarkan analisa yang telah dijalankan, tahap penguasaan hafazan responden adalah pada tahap yang lemah dan sederhana terutamanya dalam aspek kemahiran menghafaz ayat-ayat dengan lancar, sebutan huruf yang jelas dan penggunaan tajwid yang tepat. Ini mungkin disebabkan oleh amalan pengajaran guru yang kurang berkesan. Dapatan ini selari dengan kajian yang telah dijalankan oleh Maimun Aqsha Lubis dan Roslan Aspar (2005) yang menunjukkan keberkesanan kaedah mengajar dan jalinan hubungan yang lebih mesra di antara guru dan pelajar di sekolah dari peringkat rendah sehingga peringkat tinggi menjadi lebih penting supaya penyampaian pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih tersusun dan memudahkan pencapaian matlamat yang telah digariskan. Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab guru-guru untuk mewujudkan hubungan yang baik dengan pelajar seperti memberi rangsangan dan semangat supaya mereka memiliki kesedaran untuk mempelajari Al-Quran.



            Setelah penyelidik mendapati terdapat beberapa masalah yang timbul, maka penyelidik telah melaksanakan tiga teknik menghafaz Al-Quran dalam sukatan Pendidikan A-Quran adalah seperti berikut :



Program "Chunking"



            "Chunking" membawa maksud pisahkan atau ceraikan kepada beberapa bahagian tertentu bagi mendapatkan hasil yang memuaskan. Ada beberapa teknik yang bersesuaian berdasarkan program ini mengikut tahap-tahap tertentu :



1. Memisah­-misahkan sepotong ayat yang panjang kepada beberapa bahagian yang

     sesuai mengikut arahan guru.

2. Memisah­-misahkan selembar muka surat kepada beberapa bahagian (2 atau 3

     bahagian) yang sesuai.

3. Memisah-­misahkan ayat-ayat kepada beberapa bahagian, contohnya mengikut

     pertukaran cerita.

4. Memisah­-misahkan juzuk kepada beberapa bahagian mengikut surah, hizib,

     rubu', cerita dan sebagainya.

5. Memisah-­misahkan Al-Quran kepada kelompok surah, setiap 10 juz dan

     sebagainya.



            Secara rumusannya, penyelidik menggunakan teknik yang kedua bagi program ini. Cara pelaksanaan adalah seperti berikut :



1. Penyelidik membimbing pelajar dengan memisahkan ayat-ayat Al-Quran sekadar

     satu muka surat kepada 2 atau 3 bahagian mengikut kesesuaian pelajar.

2. Pelajar diberi ruang dan peluang untuk menyuarakan kemusykilan mereka

     terhadap pembahagian yang bersesuaian kepadanya.

3. Pelajar akan membaca ayat-ayat tersebut berulang kali (sekadar 5 hingga 10 kali

     mengikut Program 10-01) sehingga berjaya tanpa berpindah ke bahagian yang

     seterusnya.

4. Pelajar memperdengarkan ayat-ayat yang dihafaz tadi dihadapan penyelidik.

5. Pelajar mengulangi kaedah-kaedah di atas dengan menyambung hafazan ke

     bahagian baru atau seterusnya.



Program 10-01



            Kaedah program ini adalah dengan membaca sebanyak 10 kali sehari atau dikenali sebagai teknik ulangan berterusan. Cara pelaksanaan adalah seperti berikut:



1. Penyelidik membimbing pelajar dengan memperdengarkan bacaan yang betul     

     bagi ayat-ayat yang ditentukan diikuti dengan bacaan pelajar sekurang-

     kurangnya 5 kali.

2. Pelajar diberi ruang dan peluang untuk menyuarakan kemusykilan mereka

     terhadap bacaannya.

3. Pelajar akan membaca ayat-ayat tersebut berulang kali sekurang-kurangnya

     10 kali dalam sehari dengan menggunakan Al-Quran yang sama.

4. Pelajar juga membaca ayat-ayat tersebut di luar aktiviti program seperti dalam

     solat.

5. Penyelidik menguji ingatan pelajar dengan mengadakan ujian lisan.



Program "Sahabat Huffaz"



Cara pelaksanaan adalah seperti berikut:



1. Pilih seorang teman untuk bersama-sama hafaz.

2. Orang yang pertama membaca dengan disemak oleh orang yang kedua.

3. Orang yang kedua membaca dengan disemak oleh orang yang pertama.

4. Saling menebuk atau menguji hafazan ayat antara satu sama lain.



            Tindakan yang dijalankan ini merangkumi aspek kemahiran menghafaz ayat-ayat tertentu yang terdapat dalam sukatan Pendidikan Al-Quran SMTAQ. Ia bukan sahaja melibatkan pengajaran berpusatkan guru malah turut berfokus kepada pembelajaran aktif para pelajar di dalam menguasai ilmu tersebut. Berdasarkan teori Psikologi Pendidikan, kaedah ini menepati Pendekatan Konstruktiviti Sosial yang tertumpu kepada keadaan atau unsur-unsur yang berada di sekeliling pelajar. Apatah lagi dalam pengajaran membaca Al-Quran, ia mempunyai ciri tersendiri berbanding dengan setiap komponen bagi mata pelajaran yang lain. Pengajaran membaca Al-Quran melibatkan kemahiran lisan, kelancaran bacaan, kemahiran fasahah, tilawah bertajwid dan bacaan secara tadwir dan tartil (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2004). Oleh itu, Program Sahabat Hafaz yang dijalankan oleh penyelidik adalah bersesuaian kerana semua pelajar saling bantu membantu di antara satu sama lain dalam menguasai hafazan Al-Quran.



HASIL PEMERHATIAN



Analisis pemerhatian



Berdasarkan pemerhatian selepas kajian dijalankan terhadap kumpulan sasaran

didapati kebanyakan pelajar lebih berkeyakinan dan lebih berminat untuk menghafaz ayat-ayat Al-Quran yang dicadang dan dikemukakan guru ketika proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Selain itu suasana pembelajaran juga menjadi lebih aktif di mana pelajar sentiasa membantu di antara satu sama lain.



Analisis ujian pra dan ujian pos



Perbandingan pencapaian pelajar dalam ujian pra dan ujian pos adalah seperti berikut :



Jadual 1 : Ujian pra dan pos untuk amali hafazan ke atas 20 orang responden

                   (pelajar-pelajar Tingkatan 4A, 2012).


MARKAH
TAHAP
BILANGAN PELAJAR
Ujian Pra
Ujian Pos 1
Ujian Pos 2
14 - 20
Cemerlang
2
7
11
7 - 13
Baik
5
6
6
1 - 6
Lemah
13
7
3

Dapatan ujian pra dan pos menunjukkan terdapat peningkatan dari segi pencapaian pelajar. Daripada 20 responden yang mengambil ujian, hasilnya 17 orang pelajar menunjukkan peningkatan pencapaian manakala 3 orang pelajar tidak menunjukkan sebarang peningkatan. Ujian Pos telah dilaksanakan sebanyak 2 kali iaitu ujian pos 1 dan ujian pos 2. Jarak ujian pos 1 dan ujian pos 2 adalah selama seminggu. Berdasarkan ujian pos yang telah dijalankan, didapati terdapat peningkatan yang mendadak bagi pelajar yang dapat menghafaz ayat-ayat Al-Quran yang ditetapkan dengan lancar, bacaan yang bertajwid dan sebutan huruf yang betul. Penurunan jumlah pelajar yang lemah juga dapat dikurangkan. Hal ini berbeza daripada keputusan ujian pra amali yang telah dijalankan sebelum ini, di mana menunjukkan jumlah yang tinggi bagi pelajar yang lemah dalam menguasai kemahiran menghafaz Al-Quran.



RUMUSAN KAJIAN



            Berdasarkan kepada dapatan kajian di atas, terdapat peningkatan pada pencapaian pelajar dalam ujian pos yang dilaksanakan. Ini menunjukkan keberkesanan program yang dilaksanakan penyelidik. Namun demikian, terdapat juga beberapa pelajar yang tidak menunjukkan sebarang peningkatan dari segi pencapaian. Ini berkemungkinan kerana beberapa aktiviti dalam program yang dilaksanakan adalah di luar kemampuan kawalan penyelidik. Contohnya, bagi Program 10-01 (10 kali baca dalam sehari), pelajar dikehendaki membaca ayat-ayat Al-Quran yang dihafaz dalam solat. Penyelidik tidak dapat memastikan sama ada aktiviti ini dilaksanakan secara tepat oleh pelajar ataupun tidak. Oleh demikian, untuk kajian berikutnya, kelemahan ini harus diberi perhatian dan dilaksanakan penambahbaikan supaya sebarang tindakan yang dicadangkan berjalan lancar dengan kawalan guru yang bertugas.



KAITAN TEORI PSIKOLOGI



            Sepanjang proses kajian dilaksanakan, terdapat pelbagai teori psikologi pendidikan terbentuk dalam kaedah dan teknik yang dicadangkan penyelidik. Berdasarkan analisis kajian yang telah dilaksanakan, kesimpulan dibuat bahawa majoriti pelajar tersebut pada awalnya amat lemah dalam menghafaz Al-Quran. Setelah dibuat penyelidikan kepada beberapa peringkat ujian, ternyata bilangan pelajar yang lemah semakin berkurang dari hari ke hari dan memerlukan amalan yang berterusan.

           

            Bagi kaedah "Chunking" terdapat di dalamnya kaitan Teori Kecerdasan Triachic Sternberg kerana mengamalkan kecerdasan Analitikal (pembahagian kadar hafazan yang ingin disemak), Pengalaman (menilai kaedah lalu) dan Praktikal (tindakan pelaksanaan). Juga mempunyai kaitan dengan Teori Pembelajaran Behaviorisme dengan teknik pengulangan pada kadar yang ditetapkan. Program 10-01 pula disematkan bagi merealisasikan Teori Edward L. Thorndike yang menggunakan tiga aspek utama iaitu berkenaan Hukum Kesediaan, Hukum Latihan dan Hukum Kesan. Latihan yang berulang dan berterusan menjadi tunjang utama dalam menjayakan program ini. Begitu juga kepada Teori Konstruktiviti Sosial dilaksanakan dalam program ketiga iaitu program "Sahabat Huffaz" di mana pelajar perlu berkongsi maklumat (hafazan) bersama-sama. Kaedah ini lebih memberi keserlahan apabila terdapat pelajar yang baik atau mempunyai pengalaman yang pelbagai membantu pelajar yang lemah dan kurang mempunyai pengalaman sedia ada tentang menghafaz Al-Quran. Juga boleh disamakan ciri-cirinya dengan Teori Kognitif Sosial atau Teori Modelling Albert Bandura apabila perwatakan dan tingkah laku "Sahabat Huffaz"  atau guru bersesuaian dengan gelaran seorang penghafaz Al-Quran.



RUJUKAN



- Terjemahan Al-Quran dan Hadis.

- Hasnida Ibrahim (2011), Kemahiran Menghafaz Surah-Surah Pilihan Dalam  

   Sukatan Aa 101 Di Kalangan Pelajar Semester Satu.

- Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan, Abdul Aziz Abdul Shukor (2008), Psikologi 

   Pendidikan UPSI.

- Khalif Rizal (2011), Menghafaz Al-Quran ; Kaifiat dan Fadhilat.

- Sejaya Islamic School Preach Broad (2010), 7 Tips Menghafaz Al-Quran.